PRU14 : PDRM Minta Pengundi, Penyokong Parti Politik Mengundi Secara Berdisiplin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua pengundi dan penyokong parti politik agar mengundi secara berdisiplin serta tidak mencetuskan sebarang provokasi semasa hari pengundian esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata PDRM akan memantau situasi seluruh proses pengundian, penjumlahan undi dan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga selesai.

Beliau meminta kepada semua pihak agar mematuhi nasihat polis termasuk ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

“Selain itu, saya juga menasihatkan kepada pengundi agar keluar awal untuk mengundi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pusat-pusat mengundi yang ditetapkan.

“Mengenai tahap keselamatan, pengundi tidak perlu bimbang kerana di tempat mengundi ada polis yang ditugaskan mengawal keselamatan termasuk lalu lintas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zulkifli berkata pihaknya mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi di setiap pusat mengundi, penjumlahan undi dan keputusan pengundian.

“Setakat ini saya tidak melihat sebarang masalah dan mengharapkan kerjasama semua pihak ketika proses mengundi sedang berlangsung,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab menugaskan sebanyak 10,939 pegawai dan anggota petugas bantuan sumber manusia PDRM untuk melapor diri di 13 kontinjen seluruh negara sempena PRU14.

Kesemua anggota dan pegawai berkenaan adalah dari Bukit Aman, Maktab PDRM Cheras, Pusat Latihan Polis seluruh negara bagi penugasan kepolisan am termasuk kawalan balai polis dan pelbagai urusan pilihan raya.

Sementara itu di LAHAD DATAU, polis Sabah menerima 141 laporan dan menangkap seorang suspek sejak kempen PRU14 bermula pada 28 April hingga malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata daripada jumlah itu, 56 kertas siasatan telah dibuka dengan membabitkan 18 jenis kesalahan.

“Ini termasuk membabitkan kesalahan fitnah dan Akta Antiberita Tidak Benar, serta yang paling banyak disiasat adalah kes khianat iaitu 17 kes seperti bakar, koyak dan buang poster.

“Kita ada satu tangkapan di Papar pada 1 Mei, suspek yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya kepada pemberita di sini.

Ramli berkata sehingga kini tiada kejadian serius berlaku dan keadaan keselamatan sepanjang kempen PRU14 di Sabah adalah terkawal.

Sebelum ini dilaporkan kira-kira 15,000 anggota PDRM bertugas sepanjang PRU14 di Sabah.

Di SHAH ALAM, polis Selangor membuka 53 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan kempen PRU14 setakat ini dengan perbuatan khianat mencatatkan kes tertinggi.

Pegawai Perhubungan Media PRU14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, ACP Nordin Manan berkata sehingga kini, kertas siasatan bagi 19 kes melibatkan perbuatan khianat dibuka sepanjang tempoh itu mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata 10 lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pillihan Raya (AKPR) 1954 melibatkan kesalahan penganjuran perhimpunan awam dan ceramah.

“Di samping itu, kita juga mendakwa seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an yang dikesan membawa parang semasa ceramah kempen pilihan raya dengan kes mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958,? katanya kepada pemberita di sini.

Nordin berkata secara keseluruhan, polis Selangor menerima 114 laporan dari hari pertama kempen PRU14 sehingga kini, manakala 1,878 ceramah politik diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata sejumlah 14,819 pegawai dan anggota polis serta 1,890 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas esok bagi memastikan kelancaran perjalanan hari pengundian PRU14.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengundi untuk keluar awal dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di pusat mengundi.

Beliau berkata polis tidak akan membuat sebarang penutupan jalan di tempat mengundi dan hanya akan membuat lencongan jalan sekiranya keadaan memerlukan.

“Kita juga mengingatkan agar penyokong parti politik tidak menimbulkan sebarang tindakan provokasi, menghalang atau mengugut para pengundi semasa hari pengundian esok,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.