MCMC Akan Ambil Tindakan Tegas Berhubung Panggilan Spam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan sedang menjalankan siasatan berhubung panggilan spam yang diterima oleh calon-calon Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini.

Suruhanjaya itu berkata tindakan tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab apabila mereka dikenal pasti.

“MCMC menerima aduan daripada kedua-dua pihak bertanding yang menerima panggilan telefon serta panggilan terputus hari ini.

“Siasatan awal kami mendapati ia sebab teknikal daripada serangan BOTS yang dilancarkan oleh pihak tidak dikenali dari pelbagai sumber dengan sasaran berbeza tanpa mengambil kira parti politik,” kata MCMC dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan menggesa pihak terbabit menghentikan serangan teknikal sedemikian pada kadar segera kerana ia boleh membahayakan rangkaian telekomunikasi sekali gus menyusahkan orang ramai selain menimbulkan risiko keselamatan.

Pada masa sama, MCMC menasihati mereka yang menerima panggilan sedemikian agar tidak menjawabnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam taktik panggilan spam daripada nombor antarabangsa yang diterima oleh ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN turut mengarahkan tindakan segera berhubung perkara itu diambil.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata serangan gaya baharu itu menyasarkan kebanyakan telefon dan e-mel utama calon Pakatan Harapan.

Selain pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut menjadi sasaran. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.