Adam Mengengsot, Hampir Sampai Kem Induk Everest

KUALA LUMPUR: Pendaki yang kudung kedua-dua kaki, Azrulkhan Hasrullah atau Adam menuju ke Kem Induk Everest pagi tadi, bermula jam 7 pagi waktu tempatan (9.15 pagi waktu Malaysia).

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin selaku penaja ekspedisi Adam, berkata perjalanan itu dijangka mengambil masa tujuh hingga lapan jam sejauh tiga hingga empat kilometer (km).

Katanya, ia adalah usaha akhir Adam untuk tiba di Kem Induk Everest yang berketinggian 5,350 meter selepas 16 hari memulakan pendakian dari Lukhla, Kathmandu.

“Suhu negatif lima hingga negatif tujuh Celsius dan kekurangan oksigen kerana ketinggian serta laluan berbatu adalah cabaran akhir Adam pada hari ini.

“Doakan kejayaan pendaki istimewa hebat ini. Kami kagum dengan usaha dan tawakal Adam untuk mencapai misi menjejakkan kaki di Kem Induk Everest,” katanya di sini.

Misi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Kem Induk Everest 2018 itu diketuai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan Irwan Yusof, pengurus ekspedisi bersama jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Qobin berkata, misi berkenaan diharap dapat membuktikan kepada dunia bahawa setiap rakyat Malaysia tidak kira siapapun, mampu mencapai misi besar buat negara. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.