3 Sekeluarga Cedera Tong Gas Memasak Meletup

MIRI: Dua beradik melecur 50 peratus, manakala bapa mereka cedera apabila tong gas memasak tiba-tiba meletup di rumah mereka di Desa Senadin, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, Serene Wong Hong Sieng, 15, dan abangnya, Vincent Wong Hong Seng, 18, masing-masing melecur di beberapa bahagian badan akibat letupan itu.

Bapa mereka, Wong Huang Jing Lo, 52, cedera terkena serpihan cermin tingkap rumah yang bertaburan akibat impak letupan, dalam usaha menyelamatkan anak-anaknya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata sebuah jentera bersama sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 4.31 petang.

“Setiba di lokasi, kami mendapati ada kesan letupan di rumah berkenaan, manakala kebakaran sudah dipadamkan orang awam. Semua mangsa juga sudah dibawa ke Hospital Miri oleh polis.

“Letupan ini turut menyebabkan rumah bersebelahan rosak, namun tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa baru pulang ke rumah berkenaan sebelum bapa mangsa terhidu bau gas di dalam rumah sebelum berlaku letupan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.