Jenazah Elyas Omar Dikebumikan Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), awal malam tadi, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, pagi ini.

Jenazahnya yang dibawa pulang ke kediamannya di 112, Jalan Wira 2, Taman Perwira di Ampang Jaya, dekat sini, terlebih dahulu akan disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, pada jam 9.30 pagi.

Allahyarham yang dilahirkan pada 16 November 1936 di Pulau Pinang, meninggal dunia pada jam 7.15 malam akibat pelbagai komplikasi kesihatan.

Adik bongsunya, Datuk Seri Hanafiah Omar, berkata abangnya sering keluar masuk hospital sejak kebelakangan ini akibat beberapa masalah kesihatan yang dialaminya.

“Allahyarham berada di wad sejak beberapa hari lalu dan tadi, saya menerima panggilan memberitahu dia meninggal dunia kerana komplikasi kesihatan yang dihadapinya,” katanya kepada pemberita di IJN, sebentar tadi.

Beliau berkata, ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai yang ingin menziarah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham boleh datang ke kediaman mereka di Ampang Jaya atau di Masjid Darul Ehsan.

Elyas, 82, pernah menjadi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 hingga 1993, dengan rekod kejayaan membantu negara menjulang Piala Thomas pada 1992.

Allahyarham juga pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), dengan membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dari 1987 hingga 1989.

Selain itu, Elyas dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga pada 1981 dan berkhidmat sehingga 1992 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada Januari 2005 hingga April 2008. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.