Lelaki Mengaku Bersalah Miliki Pistol Tiruan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan pada bulan lalu.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, mengaku bersalah.

Beliau turut memerintahkan lelaki yang bekerja sendiri itu menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Faizal didakwa berada dalam milikannya, sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berserta kelopak di sebuah stor di Jalan Syaaban, Kampung Belantik di sini, kira-kira jam 12.10 hingga 12.45 tengah hari 26 April lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Arwa Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya itu menanggung dua isteri dan tiga anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira soal keselamatan negara, selain mempertimbangkan kepentingan masyarakat melebihi individu.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 April lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.