Sharapova Tersipu Ditanya Mengenai Nadal

ROME: Bintang tenis Russia, Maria Sharapova mendedahkan dia sebenarnya terkejut bagaimana dia mendapat keberanian untuk meminta izin berlatih bersama dengan Rafael Nadal di Terbuka Itali.

Dua bekas pemain nombor satu dunia itu yang meraih pelbagai trofi kejuaraan dilihat memukul bola bersama di gelanggang tanah liat di Foro Italico.

“Saya nampak dia berlatih di gelanggang sebelah, dekat dengan saya,” jelas Sharapova selepas melangkah ke pusingan kedua dengan mengalahkan pemain Australia, Ashleigh Barty.

“Jadi, saya katakan kepada pasukan saya – ‘memang menakjubkan jika saya jumpa Rafa dan bertanya adakah dia sudi memukul bola (berlatih) bersama saya?’

“Dan, mereka sukakan idea itu, ya…itu tidak salah. Saya terus berfikir, banyak lagi perkara lain yang boleh dianggap salah berbanding jika bergandingan dengan Rafa.

“Ia bukannya seperti kamu mempelawanya untuk sesi temujanji kekasih. Jadi, saya lakukannya. Dia mesti anggap saya sangat pelik. Saya rasa, sampai sekarang dia masih fikir saya sangat pelik,”

Pemain Russia ini mengakui cukup gembira dapat bersama dengan juara grand slam 16 kali dan menulis dalam twitter; “Dua minit di gelanggang bersama GOAT@RafaelNadal#BucketList, memang mendebarkan.

Dalam pertembungan semalam, Sharapova – juara grand slam lima kali memerlukan dua setengah jam untuk mengenepikan cabaran pemain ranking ke-18, Barty dengan keputusan 7-5, 3-6, 6-2, di pusingan pertama.

Dia bakal berdepan Dominika Cibulkova dalam usahanya untuk memburu trofi yang pernah dimenangi sebanyak tiga kali pada 2011, 2012 dan 2015.

“Kejohanan ini sentiasa istimewa dalam karier saya,” kata pemain berusia 31 tahun ini, yang meraih tiket wild-card pada tahun lalu selepas kembali aktif akibat penggantungan kes doping selama 15 bulan. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.