‘Anggur Laut’ Tarik Pengunjung Bazar Ramadan

KOTA KINABALU: Rumpai laut atau dikenali sebagai latok adalah antara makanan popular yang boleh didapati di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini.

Latok yang juga dikenali sebagai ‘anggur laut’ kerana menyerupai buah anggur sesuai dijadikan ulam untuk dinikmati bersama nasi panas.

Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dihidangkan dengan campuran perahan limau, bawang serta cili sebagai pembuka selera.

Tinjauan di bazar Ramadan di Asia City di sini, mendapati latok, makanan tradisi masyarakat Bajau dan Suluk antara juadah berbuka puasa yang sering menjadi pilihan pengunjung.

PENIAGA rumpai laut atau latok di Bazar Ramadan Asia City, Dg Sofielah Ag Lamin. – Foto Malai Rosmah Tuah

Peniaga bazar Ramadan, Dg Sofielah Ag Lamin, 31, berkata latok adalah antara juadah yang dijualnya sepanjang Ramadan tahun ini.

Katanya, ia bukan saja popular dalam kalangan pengunjung tempatan, malah sering menjadi pilihan pelawat luar yang mahu menikmati makanan tempatan Sabah.

“Kami menjual latok dengan harga RM3 setiap sudu besar. Sepanjang berniaga di bazar Ramadan, latok pastinya juadah yang lebih awal habis dijual berbanding makanan lain.

“Selain bulan Ramadan, pelanggan yang mahu menikmati latok, boleh datang ke premis kami di Restoran Sempelang di Asia City,” katanya berniaga di bazar Ramadan sejak 16 tahun lalu.

Bazar Ramadan Asia City turut menawarkan pelbagai juadah istimewa termasuk makanan tradisi masyarakat berbilang kaum di Sabah serta antara bazar paling menjadi tumpuan warga bandar raya ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.