Fitri Lebih Selesa Hidup Sendiri

KUALA LUMPUR: Lapan tahun menduda, juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua, Fitri Haris mengakui, belum bersedia untuk kembali berumah tangga.

Bekas anggota kumpulan nasyid, UNIC itu bimbang mengulangi kesilapan lalu, membuatkan dia berhati-hati sebelum mengambil keputusan menamatkan zaman solo.

“Saya tahu kelemahan diri, malah tidak malu mengaku, saya banyak melakukan kesilapan ketika hidup berumah tangga dulu. Bukan mahu membuka aib sendiri, sebaliknya ia berpunca daripada kegagalan saya mengemudi rumah tangga.

“Mungkin juga saya masih trauma kerana pelbagai cerita keluar selepas berpisah dengan bekas isteri. Jadi, lebih baik saya sendiri dulu kerana tidak mahu menganiaya hati orang lain,” katanya.

Fitri, 33, berkata, dia juga mahu orang ramai menjadikan kegagalan perkahwinannya sebagai iktibar dan perkara itu sering ditegaskan setiap kali diundang memberikan ceramah.

“Saya tidak mahu mereka mengulangi kesilapan yang pernah saya lakukan dan berharap membina rumah tangga dengan baik.

“Mungkin pada pandangan kita apa yang dilakukan itu baik, namun di sisi Allah ia sebaliknya. Saya serahkan segala urusan kepada Allah yang lebih mengetahui,” katanya.

Di sebalik keruntuhan rumah tangganya, bapa kepada Sofea Solehah, 13, berkata, hubungannya dengan bekas isteri lebih akrab selepas berpisah.

“Ada hikmahnya kerana kami lebih gembira selepas membawa haluan masing-masing. Saya dan bekas isteri masih baik, malah ketika konsert kemuncak GGV2, dia datang memberikan sokongan.

“Hubungan kami lebih baik apabila tidak lagi bersama. Malah, ketika mahu berkahwin semula, bekas isteri ada bertanya pendapat saya. Semua itu demi kebaikan anak kami,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.