Peti Besi Di Rumah Najib Belum Berjaya Dibuka

KUALA LUMPUR: Peti besi lama di rumah Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, masih belum berjaya dibuka sehingga operasi dihentikan kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Polis terpaksa menggerudi peti besi milik keluarga bekas Perdana Menteri itu susulan kunci peti besi terbabit dikatakan hilang dan tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu.

Polis turut memanggil beberapa tukang kunci untuk membukanya, namun peti besi berkenaan masih gagal dibuka dan proses untuk membukanya akan disambung hari ini.

Sumber memberitahu, proses penggerudian yang dilakukan sejak 8.30 pagi semalam dihentikan kira-kira jam 9.30 malam tadi sebelum enam buah kenderaan dinaiki pasukan polis serta seorang lelaki dipercayai tukang kunci keluar meninggalkan kawasan kediaman itu kira-kira jam 9.55 malam.

Terdahulu, peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal, memberitahu kunci peti besi berkenaan sudah hilang menyebabkan pihak polis terpaksa menggerudinya untuk mengenal pasti isi kandungannya.

“Tiada barang berharga di dalam peti besi itu.

“Namun, tindakan polis menggerudi dalam jangka masa panjang menimbulkan gangguan yang menjejaskan ketenangan di kediaman keluarga Najib,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pada sidang media sebentar tadi, mengesahkan peti besi berkenaan belum berjaya dibuka. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.