5 Pelajar Nyaris Maut MPV Rempuh Pokok

MELAKA: Lima pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Lendu nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Kia Sportage dinaiki mereka merempuh pokok dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Lintang, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dikatakan berlaku ketika lima pelajar berkenaan, termasuk tiga perempuan, dalam perjalanan dari Muar, Johor, ke Melaka.

Jurucakap polis berkata, MPV terbabit yang dipandu seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, pemandu MPV mengalami luka di bahu dan kaki kiri, manakala rakannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di kepala serta badan.

“Seorang daripada tiga pelajar perempuan yang duduk di bahagian belakang pula patah kaki kiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata kesemua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka, dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Md Seleman Tugi, pula berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang, sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, pihaknya mendapati ada dua mangsa tersepit masing-masing di tempat duduk belakang dan di bahagian penumpang hadapan.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat khas,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.