Nasi Daging Kawah Pak Tih Rarikan Di Bazar Ramadan Pendang

PENDANG – Nasi Daging jika kena cara, mampu membangkit selera peminatnya.

Itulah keunikan di Bazar Ramadan Pendang apabila peniaganya menggunakan kawah untuk memasak dan menumis rempah ratus nasi daging tempatan, yang juga antara daya penarik untuk melariskan jualan.

Peniaga Halim Shaari, 63, berkata istimewanya nasi daging kawah air tangannya yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Tih ini ialah dimasak secara terbuka sebelum dijual terus kepada pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke bazar itu.

“Saya memang menyimpan resepi nasi daging ini dalam buku kecil. Selepas berhenti daripada berniaga buah, saya mencarinya semula dan cuba buat hingga menjadi pada Ramadan tiga tahun lalu. Oleh kerana sambutan menggalakkan kami teruskan hingga kini dan ramai pelanggan tetap sudah tahu keenakan nasi daging kami,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya sejak awal Ramadan hinggalah ke hari ini, sambutan terhadap nasi daging kawahnya itu cukup memberangsangkan dan tidak sampai dua jam ia habis dijual dengan hasil jualan kira-kira RM1,700 sehari. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.