Felda perlu kekal momentum untuk raih juara Liga Perdana

Kapten Felda United, Muhammad Shukor Adan yakin gelaran juara Liga Premier 2018 akan menjadi milik pasukannya jika mereka berjaya mengekalkan momentum positif sehingga akhir musim.

Beliau berkata pasukannya yang kini menerajui takhta liga​​​​​​ perlu memberi fokus terhadap satu perlawanan pada satu masa supaya tidak tercicir mata bagi mengelak pencabar, Felcra FC daripada merampas kedudukan di saat akhir.

Selepas mengharungi 12 daripada 20 perlawanan, Felda United kini selesa mengumpul 29 mata di kedudukan teratas sementara Felcra FC kekurangan satu perlawanan di tempat kedua dengan 21 mata.

“Sekarang setiap aksi adalah mustahak bagi memastikan kita dapat mengekalkan status selaku pendahulu kerana kita tahu Felcra FC berada dalam prestasi terbaik dan kekurangan satu perlawanan berbanding kita.

MIFA lebur rekod tanpa kalah ‘The Fighters’

“Kita perlu tumpukan perhatian terhadap satu-satu perlawanan. Selepas Sabah kita akan berdepan Felcra FC dan daripada pemerhatian saya, Liga Premier semakin terbuka dengan banyak berlaku kejutan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Shukor menyifatkan kejayaan menewaskan UiTM FC 4-1 di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin lepas, melonjakkan kembali semangat rakan sepasukannya yang kecewa setelah tewas 0-3 di tangan MIFA dalam aksi terdahulu.

Kekalahan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, menyaksikan MIFA berjaya meleburkan rekod tanpa kalah skuad ‘The Fighters’ yang cemerlang meraih lapan kemenangan dan dua seri daripada 10 aksi sebelum itu.

Kemenangan berdepan UiTM FC membuatkan pemain kembali bersemangat dan segera melupakan kekalahan di tangan MIFA sebelum ini, tambahan pula dengan jaringan 4-1 dapat meningkatkan lagi moral pasukan ketika ini, katanya.

– Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.