Jalani Kecewa Prestasi Beregu Lelaki

KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek jelas sekali tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap skuad Piala Thomas yang tersingkir di suku akhir Khamis lalu dan mengakui kelemahan itu datang dari bahagian beregu lelaki.

Menurutnya, banyak yang perlu diperbaiki di bahagian beregu lelaki sedangkan negara seperti China, Indonesia dan Jepun semakin menunjukkan peningkatan.

“Banyak perlu diperbaiki dan perlu dikaji. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa tapi kita seperti tidak ada program jangka pendak dan panjang. Saya sudah cakap sebelum ini untuk saingan Piala Thomas kita tidak boleh pakai ambil saja pemain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, pemain yang beraksi di Piala Thomas memerlukan pendedahan, strategi, kekuatan fizikal dan mental.

“Macam saya dengan Razif (Datuk Razif Sidek) walaupun sebulan tidak beraksi bersama-sama tetapi masing-masing sudah tahu tugas yang perlu dilakukan. Satu lagi jika fizikal kita kuat, secara tidak langsung mental juga akan kuat.

“Kita perlu maju dan mengkaji adakah jumlah 28 pemain beregu yang ada dalam kem sangat bertepatan. Kita memerlukan kuantiti ataupun pemain dalam jumlah kecil. Memang kita perlukan rakan sepelatih tapi pada masa sama perlukan kebijaksanaan jurulatih untuk mengawal sehingga mampu mendapatkan keputusan,” kata Jalani.

Bagi Jalani apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk melahirkan pemain beregu yang baik secara konsisten.

“Kita perlu ada kesinambungan daripada segi perancangan, persefahaman,” katanya yang pernah membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992.

Pada masa sama Jalani bersimpati dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang sentiasa marah dan tidak berpuas hati dengan prestasi pemain negara.

“Beliau bersusah payah mencari dana namun keputusan seperti ini yang diperoleh. Selepas ini memang kita akan melakukan ‘post mortem’ namun saya ingin mengetahui apa hasilnya. Apa perjalanan seterusnya.

“Jadi kita perlu program jangka masa panjang, apa sasaran kita dan siapa yang perlu kita tonjolkan selepas ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.