Tak Menang Tangan Terima Tempahan

KOTA BHARU: Setiap kali menjelang Aidilfitri, remaja dari Kubang Kerian ini tidak menang tangan menyiapkan tempahan kek lapis Sarawak yang dihasilkannya bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Nurul Jannah Rusli Zahari, 19, berkata, seminggu sebelum Ramadan, dia sudah sibuk menyiapkan tempahan kek pelbagai perisa.

Katanya, setakat ini, dia sudah menerima tempahan lebih 100 kek dan biasanya pada penghujung Ramadan permintaannya akan meningkat.

“Pada tahun lalu, saya menerima tempahan hampir 1,000 kek daripada saudara mara serta kenalan ibu dan ayah hanya melalui promosi mulut ke mulut.

“Saya hanya menerima tempahan pada Aidilfitri dan Aidiladha saja. Kek saya dijual dalam lima perisa berlainan iaitu orea, masam manis, cheese, traffic lite (strawberi), dan evergreen (pandan) pada harga antara RM15 hingga RM56 mengikut timbangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas sahur, dia memulakan proses membuat kek dan berlanjutan sehingga malam terutamanya pada penghujung Ramadan.

“Dalam sehari saya boleh menyiapkan maksimum sehingga 60 kek menggunakan mesin adunan serta dua pembakar. Kek lapis ini tidak mempunyai bahan pengawet dan boleh bertahan selama setahun sekiranya disimpan di dalam peti sejuk beku.

“Saya mengambil masa antara dua jam setengah hingga tiga jam untuk menyiapkan sebiji kek kerana prosesnya sedikit rumit berbanding kek lain,” katanya.

Nurul Jannah berkata, walaupun harga bahan mentah semakin mahal selain pembuatannya yang rumit, dia masih mengekalkan harga kerana ibunya berpesan supaya menjual sambil bersedekah.

Katanya, dia mempelajari cara pembuatan kek lapis Sarawak daripada rakan baik ibunya yang berasal dari bumi Kenyalang dan mengambil masa dua tahun untuk mahir sepenuhnya.

“Saya mula menerima tempahan pada 2014. Ketika itu, saya hanya menerima tempahan 400 kek dan semakin meningkat saban tahun terutama menjelang hari raya.

“Ibu dan ayah banyak membantu dengan memberi modal memulakan perniagaan. Alhamdulillah, pendapatan bersih yang diperoleh antara RM6,000 hingga RM7,000 sepanjang Ramadan,” katanya yang akan menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Pengajian Perbankan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang pada Julai ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.