Bekas pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, Tengku Amir menyatakan persetujuannya dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Zakaria bagaimanapun memberi amaran kepada penyokong Sela­ngor agar tidak terlalu mengharapkan Tengku Amir akan berbelanja besar seperti yang dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sudah beberapa kali saya bertemu RMS dan beliau berkata setuju untuk mengambil alih.

“Beberapa perubahan akan dibuat dan saya nasihatkan penyokong jangan mengharapkan RMS akan melakukan seperti yang dilakukan TMJ di Johor,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Zakaria turut memuji tindakan Datuk Seri Subahan Kamal melepaskan jawatan Presiden FAS susulan pelbagai masalah yang dihadapi sepanjang menerajui badan induk itu.

“Ini satu usaha yang sihat apabila seorang Presiden berasa sudah tidak mampu lagi meneruskan tanggungjawab, keputusan mengundurkan diri adalah jalan terbaik,” ujarnya.

Subahan mengumumkan pe­ngundurannya pada 30 Mei lalu dengan menyatakan akan melepaskan jawatan secara rasmi pada 3 Julai ini.

Sejurus selepas pengumuman dibuat, nama Tengku Amir, 28, menjadi se­butan penyokong juara Piala Malaysia 33 kali itu sebagai calon terbaik untuk menerajui FAS.

Bagaimanapun, Zakaria, 50, berharap pasukan pengurusan yang bakal bersama RMS akan bersikap lebih terbuka dan mempunyai perancangan jangka masa panjang dalam memajukan bola sepak Selangor.

“Kita tahu RMS akan jadi pre­siden cuma belum tahu pasukan yang bakal bersamanya dan saya harap sesiapa pun akan bersama beliau mempunyai matlamat sama iaitu memajukan bola sepak Selangor.

“Namun, peranan ini tidak mampu dijalankan FAS secara sendirian tanpa sokongan dan bantuan dana daripada penyokong setia, kerajaan negeri serta syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya, sebaik sahaja RMS menerajui FAS, kerajaan negeri akan mengembalikan semula Stadium Shah Alam untuk dijadikan venue tuan rumah buat pasukan Red Giants.