Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan bermesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016.

Kulasegaran berkata, kajian itu telah selesai dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Mesyuarat MPGN itu juga akan mempertimbangkan syor kadar gaji minimum dan beberapa perkara lain yang berkaitan bagi menepati janji manifesto Pakatan Harapan.

“Kementerian juga telah membincangkan 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari kerajaan Pakatan Harapan termasuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, kerajaan juga bersedia untuk mempertimbangkan pemberian caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 1.2 juta suri rumah di negara ini. – UTUSAN ONLINE