Beri PM masa tentukan Kabinet

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PKR tidak rasa terpinggir dengan pengagihan jawatan menteri Kabinet kerana percaya kewibawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mampu menyelesaikan kemelut dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umum PH itu berkata, sebaik-baiknya beri ruang kepada Dr Mahathir untuk memuktamadkan rundingan dalam usaha mencari noktah mengakhiri polemik dalam PH.

Beliau berkata, PH jangan mencontohi sistem Barisan Nasional (BN) yang mana UMNO memainkan peranan mutlak dalam mengagih dan menentukan jawatan.

“Kita sudah buktikan kemenangan dalam pilihan raya yang lalu. Macam (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli perkatakan bahawa kita nampak terpinggir itu… kita masih ada ruang lagi.

“Memilih Kabinet ini, kita bukan (amalkan) sistem BN, UMNO kuasa mutlak. Sistem pakatan kita lebih ideal. Dalam kes ini, saya dan Presiden PKR, (Dr) Wan Azizah beri ruang kepada Dr Mahathir untuk lakukan kerana agak memberatkan kalau kita desak corak perundingan.

“Jadi, bersabar… janji kita bekerja,” katanya dalam satu program bual bicara ‘Terus Terang’ kelolaan Invoke Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menjawab adakah PKR tidak akan menuntut hak berdasarkan kemenangan lebih banyak kerusi berbanding DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Anwar berkata, PKR sudah ‘move on’ (bergerak ke hadapan).

Beliau berkata, seelok-eloknya beri peluang kepada Dr Mahathir, walaupun penyertaan tidak setimpal dengan kekuatan, PKR perlu memberi sedikit waktu kerana barisan jemaah menteri masih belum lengkap.

“Yang penting, kerja kuat. Saya buat keputusan, sampaikan kepada kawan-kawan untuk kita bagi beliau (Dr Mahathir) sokongan. Kamu tadbir, saya beri seluruh sokongan dan kerjasama.

“Walaupun kami berdua pernah ada nostalgia. Lagi pun Dr Mahathir bersetuju dengan agenda kita (reformasi). Ya, jadi buat apa saya nak bermusuh lagi… soal peribadi jangan melebihi kepentingan negara demi wajah baharu Malaysia,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PKR memperoleh 49 kerusi parlimen, disusuli DAP dengan 42 kerusi, PPBM (12) dan AMANAH (10).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.