Bagaimanapun, rekod baik itu tidak diteruskan membabitkan pembayaran zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis termasuk zakat perniagaan, zakat pendapatan dan zakat wang simpanan.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, HISYAM AZREN IBRAHIM di Kuala Lumpur baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), AHMAD SHUKRI YUSOFF menyeru umat Islam membuang tabiat suka bertangguh untuk menunaikan zakat.


UTUSAN: Wajarkah umat Islam memberikan pelbagai alasan untuk tidak membayar zakat?

AHMAD SHUKRI: Usah menjadi manusia yang penuh alasan. Apa jua yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah SWT. Ini termasuklah harta benda yang dipinjamkan kepada setiap hamba-Nya. Hakikatnya, manusia telah diberikan rezeki sebagai rahmat dan amanah yang harus dipergunakan sebagaimana yang diperintahkan-Nya.

Hal ini dijelaskan melalui firman-Nya dalam Surah Al-Hadid ayat 7:

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara ka­mu dan mem­belanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap memperoleh pahala yang besar.”

Menurut Islam, harta adalah amanah Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, setiap ama­nah mesti diurus dan dibelanjakan dengan baik. Ini termasuk memenuhi perintah untuk me­nyucikan harta dengan menunaikan tanggungjawab berzakat sekiranya cukup syarat dengan kadar 2.5 peratus sahaja.

Oleh yang demikian, saya menyeru umat Islam agar jangan bertangguh lagi dalam menunaikan zakat dan usah memberi seribu alasan untuk tidak berbuat demikian. Ingatlah ada hak orang lain ke atas harta anda. Bantulah yang memerlukan agar ekonomi ummah dapat dibela. Pelbagai saluran juga telah disediakan oleh PPZ-MAIWP bagi tujuan itu.

Apakah saluran yang disediakan untuk kemudahan umat Islam membayar zakat?

Bayaran zakat boleh dibuat di 11 kaunter zakat PPZ-MAIWP termasuk di ibu pejabat di Dataran Shamelin Perkasa, Masjid Negara dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di Pudu Sentral. Bersempena bulan Ramadan ini, kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8.15 pagi hingga 4.30 petang.

Pembayar zakat juga akan mendapat pelbagai cenderahati sebagai penghargaan kepada mereka. Maklumat boleh diperoleh dengan menghubungi Talian Zakat 1300885757. Umat Islam juga boleh berzakat semudah di hujung jari dengan melayari portal www.zakat.com.my.

Kaedah lain adalah perbankan internet menerusi 14 bank yang telah dilantik sebagai ejen, potongan gaji melalui Skim Thohir, autodebit Maybank dan pembayaran menerusi portal MyEG, www.myeg.com.my.

Boleh komen tindakan sesete­ngah individu yang mengagih­kan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah?

Masyarakat Islam sering mengkritik pembayaran zakat yang dibuat kepada pemerintah. Namun mereka perlu tahu bahawa di dalam al-Quran sendiri ada menyatakan tentang perihal ini.

Dalam surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim pula: “Wajib atas seseorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan membuat maksiat maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh buat taat.”

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia Kali Ke-76 pada 2006 pula mengeluarkan ketetapan iaitu meskipun mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang la­yak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah dalam perkara kebaikan adalah wajib.

Zakat adalah pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Oleh itu, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.

Ada pihak dilihat cenderung membayar zakat di luar kawasan tempat mereka mencari rezeki dengan alasan lebih ramai asnaf di kampung halaman mereka atau menganggap pusat zakat negeri terbabit sudahpun kaya?

Terdapat hadis yang diriwa­yatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengarahkan supaya dikutip zakat dalam kala­ngan orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kawasan mereka juga.

Terdapat beberapa sebab lain untuk umat Islam tidak membayar zakat di luar kawasan mereka mencari rezeki. Pertamanya, individu terbabit telah menidakkan hak asnaf di kawasan tersebut ke atas harta mereka. Keduanya, adalah lebih afdal (baik) membayar di kawasan mereka mencari rezeki kerana di situlah kekayaan dan harta telah diperoleh.

Ketiga, tanggapan bahawa pusat zakat sudah mengutip berjuta-juta ringgit sehingga tidak perlu dibayar di situ telah membuatkan pihak terbabit kehilangan dana zakat yang banyak dan akan menyebabkannya tidak mampu untuk menanggung sejumlah besar asnaf yang meningkat saban tahun. Apabila ini terjadi, mulalah kita menudingkan jari menyalahkan institusi zakat kerana tidak mengagihkan kepada hampir semua asnaf yang ada di Malaysia ini.