Sultan Selangor amat dukacita orang Melayu hasut rakyat benci raja

SHAH ALAM 8 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang secara terbuka menghina serta memperlekeh institusi raja bagi menghasut dan mempengaruhi rakyat supaya membenci Raja-raja Melayu.

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Titah baginda, paling mendukacitakan adalah apabila hasutan supaya membenci Raja-raja Melayu itu dilakukan oleh segelintir orang Melayu sendiri.

“Peranan institusi raja adalah bagi memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini.

“Penularan budaya ini dalam kalangan pihak tertentu harus dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut supaya membenci Raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat terhakis,” titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya, di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Tegas Sultan Sharafuddin, institusi raja berperanan dalam sistem raja berpelembagaan yang diamalkan di negara ini malah sentiasa mendukung prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, baginda menyeru semua orang Melayu khususnya di Selangor mengelak perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan sehingga memberi imej buruk kepada agama Islam.

Sultan Sharafuddin mahu semua umat Islam supaya berbaik sangka, bersatu padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara satu sama lain seperti ajaran agama yang mengutamakan nilai-nilai positif.

“Rakyat juga perlu membantu dan menyumbang untuk kemajuan negeri dan negara. Jangan hanya mengkritik, mencaci, mengecam dan mencela terutamanya di media sosial kerana ia bukan sahaja menyakiti hati orang lain, tetapi akan memberikan kesan negatif kepada rakyat serta pembangunan negara,” titah baginda.

Sultan Selangor juga menyeru seluruh rakyat negeri itu supaya terus bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian sesama masyarakat tanpa mengira pangkat, darjat, usia, bangsa dan agama selain melaksanakan pelbagai langkah meningkatkan taraf ekonomi termasuk berhemah dalam berbelanja. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.