Kebanyakan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan dalam tempoh yang lama sehingga mencecah 10 jam hanya dari Kuala Lumpur menuju ke Gua Musang.

Mereka yang ingin ke Kota Bharu kemudiannya terpaksa menempuh tambahan perjalanan sekurang-kurangnya lima jam lagi sebelum tiba di destinasi masing-masing.

Tinjauan Utusan Online mendapati rata-rata pengguna jalan raya mengakui sudah merancang perjalanan apabila memilih bertolak pada lewat malam tadi atau awal pagi ini bagi mengelak kesesakan.

Namun, diskaun tol 50 peratus di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula malam tadi menyebabkan kebanyakan pemandu keluar dari ibu negara hampir serentak, sekali gus menyebabkan kesesakan.

Seorang kakitangan swasta, Mohd. Abdul Hadi Mohd. Noor, 32, berkata, dia telah merancang perjalanan untuk pulang ke kampung apabila memilih waktu awal pagi untuk pulang ke kampung.

”Setiap tahun saya akan berdepan kesesakan jalan raya untuk pulang ke Kelantan namun tidak ada pilihan lain.

“Pengguna jalan raya harus berhati-hati dan memandu dengan cermat untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nor Azian Yusoff, 45, dari Meru, Klang yang ingin pulang ke Kampung Chenulang, Kuala Krai pula berkata, dia bertolak pada pukul 2 pagi dan trafik perlahan dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak serta berlaku kesesakan di bandar seperti di Bentong, Raub dan Kuala Lipis.

“Kita dah biasa dengan kesesakan jalan raya setiap tahun. Kita tempuh saja, asalkan dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung,” katanya. – UTUSAN ONLINE