Bekas Presiden UMNO itu berkata, jangan biarkan parti yang diasaskan sejak 72 tahun lalu berakhir dan tidak lagi mendapat tempat atau dianggap sudah tidak relevan.

“Dalam perjuangan tidak semuanya akan melalui jalan yang manis, sebaliknya sesekali berdepan laluan berliku atau jalan buntu. Hanya yang cekal, berlapang dada dan istiqamah akan memperoleh kejayaan.

“Lihat apa yang sedang berlaku ini adalah perjuangan amat menguji kita. Allah letakkan ujian yang sangat besar, jika kita mempunyai kesungguhan dan menghidupkan kembali perjuangan asal UMNO,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada golongan Asnaf di Masjid Kampung Tanjung Agas, di sini hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, mengimbau kembali ketika UMNO ditubuhkan untuk menentang Malayan Union bagaimana kekuatan semangat dan perpaduan menjadi benteng kekuatan.

“Ketika itu kita tidak mempunyai kekuatan termasuk kekuatan ekonomi. Tapi kita ada kekuatan semangat dan perpaduan, dengan itu sahaja, kita menumbangkan Malayan Union.

“Justeru, sebagai ahli parti kita harus terus berjuang selagi ada nafas yang bertiup dan selagi ada roh di dalam jasad sehingga muncul kebenaran dengan izin Allah,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan dan jasa UMNO dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan termasuklah di Kampung Tanjung Agas ini dalam menikmati kemudahan infrastruktur seperti masjid yang berhawa dingin. – UTUSAN ONLINE