Salah diturunkan bertemu Rusia

JURULATIH Mesir Hector Cuper bersedia menurunkan Mohamed Salah dan berharap penyerang sensasi itu akan cergas sepenuhnya menjelang aksi Piala Dunia bertemu Rusia.

Kecederaan di bahu memaksa Salah diketepikan pada aksi pembukaan Kumpulan A bertemu pasukan pilihan Uruguay, Jumaat malam.

Mesir tewas 0-1 di tangan Uruguay.

Rusia pula memulakan kempen Piala Dunia dengan cemerlang apabila mengatasi Arab Saudi 5-0.

Dengan kemenangan besar itu, Rusia mendahului Kumpulan A manakala Uruguay di tangga kedua.

Mesir kini perlu sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan tuan rumah itu di St Petersburg pada Selasa untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati.

“Salah sudah cergas. Kami akan sentiasa menjalankan ujian fizikal sebelum mengumumkan barisan kesebelasan utama pemain.

“Dan hari ini kita akan melakukan ujian penting untuk melihat tahap kecederaannya.

“Saya fikir dia boleh diturunkan. Dia merupakan aset utama kepada pasukan,” kata Cuper.

Salah menjadi salah seorang pemain digeruni di England apabila menjaringkan 44 gol dalam semua perlawanan untuk Liverpool.

Dia turut menjaringkan 33 gol dalam 57 penampilannya untuk Mesir.

“Selain berbakat, Salah seorang yang gemar merendah diri. Dia pemain penting untuk kami. Tiada siapa dapat menafikannya,” kata Cuper.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.