Tiada Lagi Bazar Jalan TAR dan Masjid India

Sah! Tiada lagi bazar perayaan di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk menghentikan bazar perayaan selepas beberapa isu tidak diselesaikan bertahun-tahun lamanya.

“Kami tidak akan membenarkan lagi bazar Ramadan atau Deepavali di Jalan Masjid India, Lorong Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya.

“Terdapat banyak aduan dan ia amat sukar diurus. Sebelum ini, tapak bazar telah diberikan kepada persatuan pedagang tetapi terdapat aduan salah urus dan banyak yang disewa untuk mendapatkan keuntungan besar berbanding untuk peniaga miskin,” katanya.

Bazar Ramadan yang mula diwujudkan pada 2003 dengan kira-kira 100 gerai beroperasi buat kali terakhir tahun ini selepas pendedahan mengenai wujud amalan menggunakan orang tengah untuk mendapatkan kelulusan tapak bazar atau gerai meskipun pelbagai usaha dilakukan DBKL untuk menghentikannya.

“Kira-kira lima tahun lalu, kami memutuskan bahawa peniaga mesti memohon terus dengan DBKL dan tapak bazar diagihkan dengan proses undi.

“Namun tanpa persatuan mengawasi bazar, pengurusan gerai tidak mementingkan aspek kebersihan,” kata Amin Nordin.

Beliau berkata sepanjang tempoh bazar dibuka, seluruh kawasan amat kotor dengan sampah sarap dibuang di merata-rata dan gerai ‘haram’ turut beroperasi.

“Berlaku satu insiden di mana salah seorang daripada pegawai penguatkuasaan kami disimbah dengan minyak panas semasa melakukan rondaan.

“Pemilih perniagaan juga mengadu hilang pendapatan disebabkan gerai yang menghalang orang masuk ke kedai mereka.

“Lagipun barangan yang dijual di gerai boleh dibeli dari kedai berdekatan. Jadi tidak perlu ke bazar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib pasar malam setiap Sabtu di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Amin Nordin berkata ia akan dikekalkan.

Mstar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.