Skuad La Celeste mengekalkan rekod bersih apabila mengutip sembilan mata maksimum selepas menewaskan Mesir 1-0 pada 15 Jun sebelum menundukkan Arab Saudi 1-0 lima hari kemudian dan terbaharu Rusia menjadi mangsa mereka.

Dalam perlawanan tersebut, Uruguay di depan seawal minit ke-10 hasil rembatan bola mati bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez sebelum pemain tengah rumah, Denis Cheryshev tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-23.

Rusia terpaksa beraksi 10 pemain selepas Igor Smolnikov dilayangkan kad kuning kedua dan kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh skuad kendalian Oscar Tabarez apabila Edinson Cavani meledak gol ketiga pada minit terakhir permainan.

Lawan yang menanti Uruguay di peringkat kalah mati adalah naib juara Kumpulan B iaitu sama ada Sepanyol, Portugal atau Iran di mana kedudukan masih terbuka.

Walaupun tewas Rusia tetap melepasi peringkat kumpulan apabila muncul naib juara dan tuan rumah kejohanan akan bertemu juara Kumpulan B di mana lawan masih belum dapat diputuskan lagi.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Mesir pulang tanpa sebarang mata apabila tewas 2-1 kepada Arab Saudi di Arena Volgograd.

Mesir terlebih dahulu di depan hasil jaringan Mohamed Salah pada minit ke-22 bagaimanapun Arab Saudi berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-22 tetapi Fahad Al-Muwallad gagal menyempurnakan penalti.

Nasib menyebelahi skuad kendalian Juan Antonio Pizzi apabila sekali lagi dihadiahkan penalti pada waktu kecederaan babak pertama dan kali ini Salman Al-Faraj menyempurnakannya.

Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri Salem Al-Dawsari melepaskan sepakan voli untuk memberi gol kemenangan pada waktu kecederaan babak kedua. – AGENSI