Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berbanding sebelum ini, kedua-dua hari berkenaan diadakan secara berasingan.

Kata beliau, sambutan itu sebagai menghargai komitmen ibu bapa dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.

“Kesungguhan dan komitmen inilah yang membentuk keluarga yang bahagia dan sejahtera,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian ketika berucap dalam majlis pe­rasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa peringkat kebangsaan bertemakan Ibu dan Bapa Anugerah Terindah yang dihadiri lebih 1,000 ibu dan bapa dari seluruh negara.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Pe­rempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat mencemar duli menghadiri majlis tersebut.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad.

Wan Azizah berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat perbincangan kementerian dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah selain pe­nyampaian Anugerah Ibu Gemilang kepada enam orang ibu dan Anugerah Bapa Inspirasi untuk tiga orang bapa.

Anugerah Ibu Gemilang diberikan kepada Noriah Ashari bagi Ka­tegori Kebudayaan; Ong Kim Lian (Kesihatan); Rokiah Salim (Keselamatan); K. Parameswari (Pendi­dikan); Sa’adiah Ali (Ekonomi) dan Ramlah Md. Jalee (Orang Kurang Upaya) manakala untuk Anugerah Bapa Inspirasi pula ialah Ng Chiew Khai (Umum); Mohd. Yazid Bain (Orang Kurang Upaya) dan Yahaya Md. Arif (Bapa Tunggal).