SETELAH menerima kecaman ekoran prestasi hambar daripada dua perlawanan, Argentina bangkit untuk memastikan tiket ke pusingan kalah mati menjadi milik mereka. – AFP

Kemenangan dramatik yang dilakar skuad kendalian Jorge Sampaoli membolehkan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dengan kutipan empat mata, ketinggalan lima mata di belakang juara Kumpulan C iaitu Croatia.

Argentina yang bergelut dengan masalah prestasi akan menentang juara Kumpulan C, Perancis di Arena Kazan pada 30 Jun ini.

Skuad La Albiceleste berada di depan seawal minit ke-14 menerusi jaringan kapten Lionel Messi hasil hantaran jauh Ever Banega namun Nigeria menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Victor Moses pada minit ke-51.

Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Rojo meledak gol kemenangan Argentina menerusi sepakan volinya setelah menerima hantaran daripada Gabriel Mercado pada minit ke-86.

Sementara itu, Croatia turut terpaksa menanti hingga minit terakhir permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Iceland di Arena Rostov.

Skuad kendalian Zlatko Dalic membuka tirai jaringan menerusi percubaan Milan Badelj pada minit ke-53 namun Iceland menyamakan kedudukan setelah Gylfi Sigurdsson menyempurnakan penalti pada minit ke-76.

Kealpaan benteng pertahanan Croatia di saat akhir membawa padah apabila Ivan Perisic berjaya memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-90.

Croatia akan bertemu Denmark dalam aksi kalah mati di Stadium Novgorod pada 1 Julai ini. – AGENSI