Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ada bahagian dan bidang tertentu yang tindakan afirmatif masih perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kami telah mengurangkan jurang antara orang Melayu dan kebanyakan orang Cina, tetapi ada bidang tertentu yang memerlukan kami memberi orang Melayu sedikit dorongan,” katanya dalam wawancara bersama Channel News Asia yang disiarkan semalam.

Antara aspek yang perlu dibantu, jelas Dr. Mahathir adalah dari sudut pemberian biasiswa untuk menyambung pengajian di luar negara.

“Sebagai contoh, semasa saya di United Kingdom (UK), saya telah bertemu dengan beberapa pelajar Cina. Mereka berada di sana kerana ayah mereka, keluarga mereka mampu membayar pengajian.

“Tetapi saya mendapati ke­luarga Melayu, sebahagian besarnya tidak mampu membiayai pengajian universiti untuk anak-anak mereka,” ujar beliau.

Menurut Dr. Mahathir, sebahagian besar orang Cina terlibat dalam perniagaan dan menerusi bidang itu mereka mampu menjana duit yang banyak.

“Berbeza dengan orang Me­layu, sebahagian besarnya merupakan penjawat awam dan bekerja makan gaji. Jadi tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti kerana kosnya sangat mahal hari ini,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir menegaskan, meneruskan polisi untuk membantu orang Melayu tidak bermaksud kerajaan hanya memikirkan mengenai golongan itu.

“Jurang dalam masyarakat adalah tidak baik walaupun hanya melibatkan etnik tunggal. Anda ada orang kaya, sangat kaya dan yang miskin, sangat miskin, anda mengundang konflik.

“Tetapi apabila yang kaya hanya terdiri daripada satu kaum manakala yang miskin satu kaum lain, potensi untuk tercetus konflik adalah lebih besar,” kata beliau,

Disebabkan itu, tegas Dr. Mahathir, ketidakseimbangan tersebut perlu diperbetulkan.