Malah ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata minat terhadap sukan tersebut walaupun individu berkenaan bukanlah warganegara pasukan yang bertanding.

Namun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, apa yang membimbangkan, prestasi pekerja dilihat agak merosot pada ketika ini terutama dalam aspek kehadiran.

Tegasnya, jumlah pekerja yang mengambil sijil cuti sakit (MC) juga bertambah ketika musim Piala Dunia 2018.

“Kita pernah membuat kajian membabitkan acara terbesar sebelum ini. Jika membabitkan perlawanan penting waktu pagi, jumlah MC me­ningkat berbanding hari biasa.

“Apa yang mendukacitakan, ada pula yang ponteng kerja sehingga menjejaskan produkti­viti syarikat. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebanyak 32 pasukan layak ke Piala Dunia di Rusia kali ini dengan penyertaan daripada 14 negara Eropah; Amerika Selatan (5); Afrika (5); Amerika Tengah (3) dan Asia (5).

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Se­kerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, masalah berkaitan produktiviti pekerja yang merosot ketika musim Piala Dunia merupakan satu masalah serius.

“Pihak kami mendapati jumlah surat amaran dan pekerja yang dipanggil untuk sesi kaunseling turut meningkat gara-gara acara ini. Kami sememangnya tidak berkuasa untuk menentukan gaya hidup atau jadual seseorang pekerja

“Tetapi mereka harus ingat, ia membabitkan ‘periuk nasi’ sendiri dan jangan sampai ada tindakan tegas diambil hanya disebabkan Piala Dunia,” jelas beliau.