Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa mendakwa dirogol secara bergilir-gilir oleh dua kenalan lelakinya itu sebelum seorang lagi rakan dua lelaki berkenaan turut melakukan perbuatan sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa baharu sahaja seminggu mengenali dua rakan WeChat itu dan pertama kali keluar bertemu mereka dengan alasan untuk ‘lepak’ di Ipoh.

Katanya, mangsa yang dijemput kedua-dua suspek pada pukul 12 tengah malam kemudiannya dibawa ke lokasi kejadian sebelum salah seorang suspek menariknya masuk ke dalam bilik dan memaksa mangsa membuka baju.

“Mangsa juga diugut sekiranya tidak mahu membuka baju, dia tidak akan dihantar pulang. Remaja terbabit yang terpaksa membuat apa yang disuruh kemudiannya dirogol suspek berkenaan.

“Selepas suspek terbabit keluar dari bilik tersebut, seorang lagi rakannya masuk ke dalam bilik dan merogol mangsa sebelum diikuti seorang lagi lelaki yang tidak dikenali mangsa yang turut melakukan perbuatan sama,” katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dihantar di bawah jambatan berhampiran Titi Gantung sebelum dijemput oleh rakan remaja terbabit.

Katanya, ketika kejadian mangsa tidak menjerit dan melawan kerana diugut oleh suspek yang tidak mahu menghantarnya pulang.

“Operasi mengesan kesemua suspek berusia lingkungan 20-an itu segera dilakukan sebaik sahaja laporan dibuat mangsa semalam. Mangsa turut dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan.

“Kesemua mereka berjaya ditangkap di sekitar Seri Iskandar hari ini dan akan direman esok untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE