Pengarah Eksekutif Interimnya, Gwen Lee berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan itu berikutan beberapa laporan media menyiarkan isu peguam Fadiah Nadwa Fikri akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana telah menulis sebuah artikel mengenai kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.

Menurut Gwen, kes melibatkan Fadiah Nadwa merupakan kes pertama aktivis dipanggil untuk disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.

“Kami agak terkejut dengan laporan media itu memandangkan Pakatan Harapan sebelum ini menerusi manifesto pilihan raya pernah menyatakan komitmen mereka untuk memansuhkan kedua-dua akta berkenaan serta tidak menyasar mana-mana individu yang memberi pendapat mahupun pandangan secara aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE.