Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pejabat Peguam Negara yang seterusnya memberi cadangan untuk menge­tatkan undang-undang serta peraturan melibatkan soal penjagaan kanak-kanak.

“Saya bincang banyak kali de­ngan pejabat Peguam Negara dan mereka maklumkan kepada saya ada undang-undang yang perlu diperketatkan kerana undang-undang kita ada lompong dan itu mesti kita perhatikan.

“Apabila ada berlaku kecuai­an kita mesti ketatkan undang-undang dan peraturan yang ada,” katanya selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, tragedi terbaharu membabitkan kematian bayi, Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan selepas dipercayai terjatuh di rumah pengasuh amat menyedihkan.

Wan Azizah berkata, beliau me­ngarahkan pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendapatkan bu­tiran lanjut mengenai kes tersebut.

“Saya sedih apabila tragedi be­gini berlaku kerana ia memba­bitkan masa depan bayi dan kita minta kementerian dapatkan mak­lumat lanjut mengenainya.

“Kita bukan sahaja mahu selesaikan satu sahaja kes ini, tetapi kita mahu mencegahnya daripada berlaku lagi,” katanya.