Namun sejak kebelakangan ini, nama Hanez agak sunyi selepas dia mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Bagaimanapun, Hanez menjelaskan dia tidak meninggalkan terus dunia lakonan, sebaliknya sibuk dengan dunia perniagaan.

“Hanez sudah setahun lebih memulakan jenama fesyen sendiri iaitu everydaykl_RTW yang menggunakan platform jualan online.

“Setakat ini, sambutan begitu menggalakkan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurutnya, dia kini masih berada di peringkat belajar selok-belok dunia perniagaan.

Katanya, dia aktif menghadiri majlis-majlis suaikenal atau membina jaringan perniagaan dengan ramai pihak untuk meningkatkan ilmu berniaga.

Ditanya mengenai dunia lakonan, Hanez berkata, dia tidak keberatan untuk menerima tawaran lakonan dengan syarat ia sesuai dengan status dirinya sebagai isteri dan ibu.

Katanya, dia tentu sahaja mahu watak yang lebih mencabar berbanding apa yang pernah dibawa sebelum ini.

“Contohnya, watak orang gila. Apa saja yang mencabar bakat Hanez dalam lakonan, itulah yang Hanez mahu,” katanya.

Namun, semua itu bergantung kepada kesesuaian masanya sebagai isteri, ibu dan ahli perniagaan.

Katanya, suaminya tidak menghalang dirinya untuk terus berkarya di dalam bidang lakonan.

“Tetapi saya sendiri sedar perlu ada batasan dan yang lebih penting saya tidak perlu berjauhan dengan suami dan anak,” katanya.

Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha Abd. Rais pada 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Puteri Aleesya yang kini berusia dua tahun.

Nama Hanez sebelum ini menjadi agak panas apabila sering dikaitkan dengan gosip liar termasuk mengenai rumah tangganya dan hubungan terdahulu.

Mac lalu, penyanyi Awi Rafael mengeluarkan kenyataan kepada pihak media mengatakan dia mula mengenali tunangnya, pelakon Atikah Suhaime sejak lapan tahun lalu ketika masih bercinta dengan Hanez.

Kenyataan Awi itu membuatkan Hanez kurang selesa lantas menegaskan penyanyi itu tidak perlu lagi mengaitkan namanya dengan hubungan dia dan tunangnya kerana secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham di pihak suami Hanez .

Tahun lalu pula, nama Hanez sekali lagi jadi sebutan apabila berita mengenai dia memfailkan penceraian terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam tersebar.

Lantas dia membuat kenyataan memperjelaskan bahawa rumah tangganya masih bahagia dan tiada apa-apa yang berlaku kerana segala permasalahan yang timbul diselesaikan secara baik antara dia dan suami.