Melaka bakal perkenal konsep pelancongan pertanian

AYER KEROH: Melaka bercadang memperkenalkan konsep pelancongan pertanian secara agresif dan sistematik mulai tahun depan berikutan permintaan tinggi sektor pelancongan bercirikan buah-buahan tempatan.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee, berkata konsep pelancongan itu akan difokuskan di semua tiga daerah di negeri ini iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin, dengan menyusun semula strategi pemasaran buah-buahan tempatan.

“Memandangkan buah-buahan tempatan kebanyakannya bermusim, kita akan merangka satu jadual pelancongan pertanian dengan kerjasama jabatan berkaitan, khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memudahkan pelancong merancang percutian.

“Kita juga merancang untuk mengukuhkan pemasaran buah tempatan menerusi 21 Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di seluruh negeri supaya harga buah, terutama durian, dapat distabilkan,” katanya selepas melancarkan Melaka Durian Street di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Program anjuran FAMA yang bermula pada 17 hingga 29 Julai ini menyediakan pilihan lebih 10 gred durian sehingga 10 tan sehari di samping lima tan buah bermusim lain seperti manggis, rambutan dan cempedak pada harga terendah.

Dua gred durian baharu iaitu ‘Cinta’ dan ‘Darling’, yang ditanam di Tehel, Jasin dan Ayer Molek, di sini, yang bakal menjadi ikon durian Melaka, turut diperkenalkan pada majlis itu.

Norhizam Hassan berkata, rangkaian GBBS yang diperkenalkan pada April 2016 bagi mengurangkan isu lambakan buah tempatan, mencatatkan sejumlah RM3.69 juta urus niaga dari Januari hingga Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata pihaknya berusaha memasarkan buah tempatan ke negara baharu seperti Amerika Syarikat, Australia dan China, selain mengukuhkan pasaran ke negara pengimport tradisional iaitu Singapura dan Hong Kong.

“Langkah ini perlu berikutan peningkatan tiga kali ganda pengeluaran buah tempatan seperti durian, yang mana kami mencatatkan kira-kira 60,000 metrik tan pada tahun lalu dan tahun ini, kira-kira 180,000 metrik tan.

“Selain itu, FAMA berusaha mengukuhkan pasaran tempatan supaya peminat buah tempatan dapat membeli pada harga berpatutan, selain sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.