BARJORAI BARDAL
BARJORAI BARDAL

Ekoran itu, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai meminta kerajaan menangguhkan cadangan menaikkan kadar Perintah Gaji Minimum kepada RM1,500 berbanding RM1,000 (untuk semenanjung) dan RM920 (bagi Sabah dan Sarawak) yang ditetapkan pada 2016.

Menurut beliau, penangguhan tersebut bagi mengelakkan majikan daripada terjejas teruk ekoran ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu sekarang.

Pensyarah ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) itu berpendapat, sebagai penyelesaian, kerajaan dicadangkan membantu majikan melalui pemberian insentif bagi menggalakkan mereka membuat pelaburan untuk latihan pekerja serta penggunaan teknologi.

Beliau menjelaskan, pemberian insentif untuk latihan pekerja dan penggunaan teknologi adalah satu penyelesaian serampang dua mata yang menguntungkan kedua-dua majikan dan pekerja.

“Latihan semula pekerja penting kerana selain meningkatkan kemahiran, majikan juga dapat mempersiapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri 4.0.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, pertambahan kos ditanggung dengan pematuhan Perintah Gaji Minimum yang bakal diumumkan boleh mendatangkan kesan negatif kepada majikan,” jelas beliau kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Dr. Barjoyai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500.

Isu gaji minimum RM1,500 ini timbul apabila kerajaan Pakatan Harapan pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu berjanji untuk menaikkan kadar gaji berkenaan.

Pada 19 Jun lalu awal Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sudah menyelesaikan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor itu akan dibentangkan kepada kerajaan dalam masa selewat-lewatnya pada Ogos depan.

Bagaimanapun, pada 22 Julai, Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, pelaksanaan gaji minimum berjumlah RM1,500 itu bukanlah untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebaliknya dijangka akan dicapai dalam masa lima tahun pentadbiran kerajaan baharu ini.

Dr. Barjoyai menambah, pemberian latihan dan penggunaan teknologi adalah penyelesaian serampang dua mata yang menguntungkan majikan dan pekerja.

Daripada sudut pandang ekonomi pula, Barjoyai berpendapat, kenaikan kos operasi ekoran jika gaji minimum RM1,500 dilaksanakan akan menyebabkan pelabur asing keluar dari Malaysia untuk mencari lokasi yang dapat menawarkan kos sumber manusia yang rendah.

FATIMAH KARI
FATIMAH KARI

Bagaimanapun pendapat Dr. Barjoyai tidak dipersetujui oleh Pensyarah Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Prof. Fatimah Kari.

Dr. Fatimah berpendapat, pemberian gaji minimum RM1,500 tidak akan merugikan majikan sebaliknya mendatangkan keuntungan kepada syarikat dalam jangka panjang.

Beliau menjelaskan, setiap majikan mempunyai kepakaran untuk membuat pelarasan perakaunan dan operasi bagi menangani pertabahan kos kesan daripada perlaksanaan perintah yang disemak dua tahun sekali itu.

Oleh itu, pada berpendapat beliau, tiada alasan untuk pihak majikan tidak melaksanakan perintah tersebut kerana langkah itu pada hakikatnya mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

“Kajian menunjukkan gaji mempunyai kesan langsung kepada produktiviti pekerja dan pada masa panjang menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat.

“Cumanya dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, pihak majikan perlulah melakukan pelarasan dan penyesuaian yang bersesuaian untuk mengimbangi pertambahan kos yang bakal dihadapi,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr. Fatimah meminta supaya kerajaan bertegas dalam perlaksanaan Perintah Gaji Minimum untuk memastikan majikan mematuhinya.

Kegagalan berbuat demikian, kata beliau, akan merencatkan usaha untuk menjadikan Malaysia negara maju kerana gaji minimum adalah faktor penting yang perlu ada untuk mencapai matlamat tersebut. – UTUSAN ONLINE