30 NGO Melayu dan Islam bergabung untuk Angkatan Kesatuan Ummah (AKU)

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Buat pertama kalinya, sebanyak 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam bersetuju untuk digabungkan di bawah Angkatan Kesatuan Ummah (AKU) bagi menyelaraskan seluruh pergerakan Melayu dan Islam di negara ini.

Pengerusi Penaja AKU, Aminuddin Yahaya berkata, gabungan ini penting bagi menjadi satu suara yang kuat dalam menyuara dan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini sejajar dengan peruntukkan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selama ini kesemua NGO atas nama Melayu dan Islam bergerak secara sendirian dengan cara masing-masing.

“Sedangkan jika kita bergabung bagi mencapai matlamat perjuangan yang sealiran dan sama, maka suara orang Melayu dan Islam akan lebih didengari.

“Jika tidak sebelum ini, ada yang mendengar dan diambil perhatian tetapi tidak kurang juga, tidak kesampaian sedangkan masing-masing mempunyai matlamat dan hasrat yang mulia dan murni,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penajaan dan penubuhan Angkatan Kesatuan Ummah (AKU) di Hotel Tamu, Kampung Baru, di sini hari ini.

Sebanyak 30 wakil pertubuhan NGO Melayu dan Islam tempatan hadir di mesyuarat yang berlangsung selama hampir lima jam. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.