Sasaran untuk berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik di Sukan Asia merupakan matlamat utama penubuhan Program Podium.

Empat tahun lalu, kontinjen Malaysia menamatkan saingan di Incheon di kedudukan ke-14 selepas meraih lima pingat emas dan masing-masing 14 pingat perak serta gangsa.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan bahawa sasaran rasmi Malaysia di Sukan Asia ialah tujuh pingat emas namun tidak menolak kemungkinan untuk meraih 11 pingat emas.

“Apabila kita bercakap mengenai kedudukan 10 teratas, kita perlu mengatasi sasaran yang ditetapkan dan seperti yang dimaklumkan menteri, atlet kita mampu membawa pulang 11 pingat emas jika mereka beraksi cemerlang pada hari pertandingan.

“Saya percaya, sasaran tujuh pingat emas ini tidak akan memberikan tekanan kepada barisan atlet kita yang beraksi di sana,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dataran Perdana Putra, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi mengakui bahawa banyak sukan berpotensi untuk menyumbang pingat emas namun tetapi ia akan terjejas sekiranya berlaku kecederaan.

“Bagaimanapun saya berharap semua berjalan lancar dan sasaran dapat dipenuhi namun kebimbangan utama adalah kecederaan pada tempoh ini,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE