Pengurusan tertinggi Felda perlu dibersihkan

KUALA LUMPUR – Majlis Permuafakatan NGO Felda hari ini menyuarakan secara tegas bahawa pembersihan terhadap pengurusan tertinggi Felda perlu dilaksanakan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan itu adalah demi memastikan kegagalan pengurusan Felda di bawah pentadbiran pengerusi terdahulu tidak akan berulang.

“Penstrukturan semula Felda dengan tindakan rombakan terhadap pengurusan agensi itu mesti dilakukan kerana sebahagian besar pengurusan tertinggi yang ada hari ini adalah mereka yang datang daripada legasi bekas pengerusi, Tan Sri Isa Samad.

“Mereka inilah sebahagian daripada kerosakan yang berlaku di Felda,” katanya pada sidang media, hari ini.

Majlis Permuafakatan NGO Felda hari ini telah mengadakan satu kunjungan hormat bertemu dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor bagi berbincang mengenai beberapa isu berbangkit berkaitan pentadbiran Felda.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, perkara tersebut perlu diambil kira oleh Megat Zaharuddin demi agenda mereformasikan Felda.

“Mereka-mereka ini harus dikeluarkan dan disiasat kerana berdasarkan rekod sedia ada, ada di kalangan mereka ini dikenakan tatatertib tapi tidak diambil tindakan.

“Ada di kalangan mereka juga telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jika tidak dilakukan pembersihan, maka ia hanya akan mengulangi kegagalan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai pertemuan tersebut, Mazlan berkata, beberapa perkara utama telah dibangkitkan antaranya mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bayaran sara hidup dan tadbir urus kebun-kebun peneroka serta perumahan generasi baharu Felda.

“Kita harap satu mekanisme dapat dilakukan oleh pengerusi dan lembaga pengarah termasuk pengurusan Felda supaya isu-isu ini dapat ditangani secepat mungkin.

“Jika ini tidak diambil perhatian, ia bukan hanya  memberikan imej yang tidak baik bukan sahaja kepada pengurusan Felda sendiri tapi kepada kerajaan yang sekarang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memuji kesediaan Megat Zaharuddin yang dilihat sebagai satu perkara yang positif.

“Saya ucap terima kasih kepada pengerusi baharu dan anggap kesediaan beliau dalam pertemuan ini adalah sesuatu yang baharu bagi kami berbanding dengan pengerusi sebelum ini.

“Beliau nampak sangat bersungguh-sungguh dan berminat dengan apa yang kita bangkitkan,” katanya.

Sinar Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.