Dakwaan palsu pelakon hampir diculik boleh jejaskan industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Dakwaan palsu mengenai cubaan menculik di Zon Selamat  Timur Sabah (Esszone) menarik persepsi negatif daripada orang awam dan boleh menyebabkan pelancong  mengelak daripada melawat Sabah.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Tan Kok Liang (gambar) berkata mereka yang sudah berada di sana mungkin memendekkan lawatan mereka untuk menyenangkan hati anggota keluarga mereka berikutan berita palsu itu.

“Pihak berkuasa perlu bertindak pantas dan tegas ke atas dakwaan palsu yang menyebabkan  kebimbangan  dalam masyarakat mengenai keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Adalah amat penting kepada semua warga Malaysia dan media mengambil perhatian mengenai  kerosakan akibat berita buruk kepada negara dan industri pelancongan  terutamanya  apabila  berita  terbabit adalah palsu dan tidak perlu disebarkan.

“Matta terkejut dengan beberapa berita sensasi yang direka baru-baru ini untuk menarik perhatian oleh mereka yang mencari publisiti murahan. Yang terkini adalah dari seorang pelakon yang mendakwa beliau dan seorang lagi pelakon hampir diculik oleh lanun di Daerah Semporna, Pantai Timur Sabah,” kata Tan.

Tan berkata berita palsu ini segera disangkal  oleh Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Hazani Ghazali  kerana tidak berasas.

Hakikatnya, sepanjang pengambaran filem itu, kru filem berada di bawah pengawasan Pasukan Khas Laut (Paskal) dan tiada cubaan menculik atau menculik di sepanjang 2017 dan setakat ini, tahun ini, kata  Hazani.

Pada Rabu, Esscom mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak agar berhati-hati dalam  mengeluarkan  kenyataan palsu yang boleh menggugat keselamatan negara.

Hazani berkata tindakan undang-undang boleh diambil  terhadap pihak yang mengeluarkan  kenyataan  tidak benar serta menimbulkan kegusaran  masyarakat  mengenai soal keselamatan dan ketenteraman  awam  khasnya di kawasan Esszone. – Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.