Angeline Tan masih dipanggil Lucy

KUALA LUMPUR: Walaupun sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sudah 24 tahun disiarkan, pelakon Angeline Tan, mengakui peminat masih lagi memanggilnya sebagai Lucy, watak yang dibawanya dalam karya itu.

Angeline atau nama sebenarnya, Tan Yoke Yeah, 51, berkata, panggilan itu sudah sebati dalam masyarakat, malah hampir setiap hari dia ditegur dengan nama itu, namun tidak pernah terasa hati.

“Setiap kali keluar rumah, mesti ada yang memanggil saya Lucy. Mungkin juga ada di antara mereka yang tidak ingat nama sebenar saya, tetapi saya tidak berkecil hati.

“Bagi saya, ia membuktikan watak dan lakonan saya dalam sitkom itu meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

“Saya tidak kisah jika hanya nama itu yang melekat di hati mereka, meskipun banyak sitkom dan drama lain yang saya jayakan,” katanya.

Muncul dalam pementasan teater, Tanah Akhirku, karya penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lim Mei Fen yang berakhir malam ini di Istana Budaya, Angeline berkata, dia selesa, meskipun naskhah itu membariskan ramai pelakon muda.

“Saya faham, tidak ramai pengkarya senior yang terbuka menerima idea dan sedia bekerja dengan penggiat baharu. Namun, jika kita tidak beri peluang, siapa lagi?

“Sebelum menjadi pelakon senior, saya juga pernah bermula sebagai bakat baharu. Saya percaya kerjasama dengan bakat muda ini akan memberi pengalaman baharu dan idea segar dalam kerjaya seni,” katanya.

Tanah Akhirku yang turut dibintangi Aeril Zafrel, Izzue Islam dan Nina Nadira mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis dari China, Yue Feng yang berhijrah ke Tanah Melayu akibat perang saudara.

Yue Feng dan adiknya, Da Hai memulakan hidup baharu dengan bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai kumpulan kongsi gelap. Mereka juga berdepan ketidakstabilan politik pada era penjajahan British hingga kehidupan menjadi sukar.

Namun, cinta terhadap Tanah Melayu semakin menebal, apatah lagi dia jatuh hati dengan pemuda Melayu. Yue Feng akhirnya memutuskan Tanah Melayu sebagai tanah akhirnya.

Berita Harian Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.