Daftar SST segera, elak bayar untuk pelanggan

IPOH: Peniaga dinasihatkan segera mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengutip Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya tidak mahu membayar SST bagi pihak pelanggan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun tiada sebarang hukuman dikenakan kepada peniaga yang tidak mendaftar, mereka masih perlu membayar cukai berkenaan bermula hari ini tanpa boleh mengenakan caj kepada pengguna.

Katanya, jika peniaga tidak mahu membayar cukai berkenaan bagi pihak pelanggan, mereka perlulah mendaftar segera dengan JKDM bagi mengelakkan caj itu dikenakan kepada mereka.

“Ini adalah satu sistem cukai baharu dan kita akan gunakan pendekatan yang lembut, pendekatan yang mesra, pendekatan berjiwa rakyat iaitu jika ada apa-apa kesilapan kita akan betulkan dan kita tidak akan menghukum.

“Namun, sekiranya ada masalah, mereka akan bayar enam peratus cukai itu bagi pihak pelanggan mereka, itu saja dan tiada tindakan punitif atau hukuman pada peringkat awal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan anjuran JKDM Perak yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam di sebuah hotel di sini hari ini.

Guan Eng berkata, ketiadakfahaman mengenai pelaksanaan SST mendorong beliau sendiri turun menjelajah ke semua negeri bagi memberikan taklimat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri Kewangan sebelum ini.

Katanya, kesan SST dijangka kurang daripada separuh berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana pengecualian 10 kali ganda lebih besar diberikan kerajaan kepada barangan yang dikenakan cukai.

“GST berikan pengecualian kepada 545 barangan saja manakala SST berikan pengecualian kepada 5,443 barangan iaitu 10 kali ganda lebih besar daripada GST dan kerajaan harap sekiranya ada kenaikan harga barangan, kesannya hanyalah kurang daripada separuh berbanding GST.

“Kita (kerajaan) juga berharap dan memohon semua pihak berikan kerjasama, janganlah gunakan peluang ini untuk naikkan harga barang, sekiranya tidak dikenakan cukai jangan cakap atau pura-pura ada kenaikan harga barang kerana SST dan ambil peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Subromaniam berkata, pihaknya mendapati masih terdapat penyedia perkhidmatan dan peniaga yang masih belum mengemaskini sistem mereka bagi pelaksanaan SST bermula jam 12 tengah malam tadi.

“JKDM menasihatkan mereka untuk mengemaskini sistem supaya SST boleh dikenakan bagi penyedia perkhidmatan dan peniaga layak berdaftar, bagi kilang-kilang kita rasakan tiada masalah kerana mereka ada masa untuk melakukannya memandangkan hari ini hari cuti.

“Satu lagi perkara, JKDM sudah mula mengutip cukai jualan ke atas barang-barang import yang kena cukai mulai jam 12 tengah malam tadi pada kadar lima peratus atau 10 peratus,” katanya.

Berita Harian Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.