Malaysia, Brunei terus perkukuh hubungan

KUCHING: Hubungan Malaysia-Brunei Darussalam terus diperkukuhkan melalui lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bandar Seri Begawan yang dijadualkan bermula esok.

Ia adalah negara serantau kedua dilawati beliau selepas kembali memegang jawatan Perdana Menteri.

Malah, ia sebahagian daripada siri lawatan pengenalan Dr Mahathir ke negara-negara Asia Tenggara, dan juga negara anggota ASEAN selepas kembali menerajui kepemimpinan negara.

Dr Mahathir sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia pada 29 hingga 30 Jun lalu, khusus bagi mengadakan pertemuan bersama Presiden Joko Widodo.

Dalam rangka lawatan ke Brunei, beliau yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, akan turut melakukan kunjungan hormat ke atas Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Wisma Putra, dalam satu kenyataan, memaklumkan lawatan itu juga bagi memperkukuhkan lagi hubungan baik Malaysia-Brunei yang terjalin sejak sekian lama.

“Dalam pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai pelbagai usaha yang boleh dilaksanakan dalam memperkasakan hubungan dua hala Malaysia-Brunei.

“Ia juga platform terbaik untuk Malaysia mengetengahkan dasar terkini pentadbirannya, selain pendirian berkaitan beberapa isu atau perkara yang memiliki manfaat bersama kedua-dua negara,” menurut Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar pandangan berhubung isu serantau dan global yang membabitkan kepentingan Malaysia-Brunei.

“Brunei Darussalam antara negara jiran paling rapat dengan Malaysia. Malah, Sultan Brunei adalah ketua negara asing pertama yang mengadakan lawatan peribadi ke Malaysia dan bertemu Dr Mahathir bagi menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam konteks perdagangan pula, Brunei adalah rakan dagang ke-35 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-7 terbesar dalam kelompok negara anggota ASEAN.

“Sepankang 2017, nilai perdagangan dua hala negara rakan karib ini mencecah AS$1.14 bilion,sekali gus mencatatkan peningkatan 70 peratus berbanding AS$0.67 biloion yang direkodkan pada tahun sebelumnya,” menurutnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.