Kabinet awasi khidmat Maszlee sebagai presiden UIA

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak ada masalah dengan pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menjadi presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurut perdana menteri tugas Maszlee itu – walaupun dilihat terdedah kepada faktor konflik kepentingan – boleh dipantau.

Ditanya kemungkinan tugas berkenaan dipantau oleh menteri lain untuk menyediakan mekanisme sema dan imbang, Dr Mahathir menjawab: “(Malah) ada kabinet pun.”

Kata perdana menteri jika ada permohonan daripada UIA untuk mendapatkan dana daripada Kementerian Pendidikan, ia akhirnya akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan.

“Mereka yang mesti meluluskannya (sebelum ia boleh disalurkan ke UIA),” katanya semasa diwawancara Malaysiakini dan Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Maszlee ialah anggota parlimen Simpang Renggam dan sebelum itu dikenali sebagai ahli akademik yang berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, UIA.

Semalam UIA mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai presiden universiti berkenaan dan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Antara lain disebabkan beliau pernah menegaskan keperluan sesebuah universiti diberikan autonomi bagi memastikan kecemerlangan akademiknya dikembalikan.

Bukan di semua jawatan

Maszlee, 43, juga berpendapat sesebuah institusi pendidikan tinggi perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Walaupun dijelaskan pelantikan itu dibuat oleh Ketua Perlembagaan UIA iaitu Sultan Pahang, orang ramai berpendapat Maszlee wajar menolak selaras dengan aspirasi yang dipernah dinyatakannya.

Ditanya mengenai kedudukan janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengembalikan wibawa institusi pengajian tinggi di negara ini, Dr Mahathir menjelaskan ikrar berkenaan dibuat sebelum pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Kata perdana menteri mengingatkan manifesto berkenaan dirangka ketika HARAPAN masih sebagai pembangkang.

“Ketika itu kita masih anggap kita akan kalah pada PRU ke-14, jadi tak ada peluang menang,” katanya.

Kini katanya selepas menjadi kerajaan HARAPAN perlu bertolak ansur dalam isu pelantikan seseorang ke jawatan utama, namun ia masih terikat dengan kelayakan.

“Apa yang utama ialah kualiti yang ada pada mereka.

“Tidak macam dulu (semasa kerajaan BN) apabila ada sampai 100 orang ahli Umno jadi pengarah dan sebagainya walaupun tak ada kebolehan sama sekali.

“Sekarang kita pilih yang layak untuk menjadi ketua misalnya walaupun kita (pernah) kata orang parti tak boleh masuk.

“Tapi mereka masuk bukan kerana parti sebaliknya kerana kebolehan. Kita kena beri layanan adil kepada mereka tetapi tidaklah sehingga kita isi semua lembaga pengarah, ketua pegawai operasi dengan orang kita,” katanya.

Wawancara ini diadakan bersama oleh Haris Mohd, Lu Wei Hoong, Norman Goh, Zikri Kamarulzaman dan wakil Sinar Harian.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.